Monday, January 4, 2010

REPORT POLIS





Cara membuat REPOT
Mengikut Seksyen 107 Kanun Prosedur Jenayah, apabila pengaduan atau repot dibuat kepada seorang Ketua Polis Balai (KPB) berkenaan kejadian sesuatu kesalahan, KPB itu atau pun pegawai polis lain di bawah arahannya hendaklah menulis maklumat itu dan setelah menulis hendaklah dibaca semula kepada pengadu. Setiap pengaduan hendaklah ditulis dalam buku laporan yang disimpan oleh KPB dan hendaklah ditulis tarikh dan waktu aduan dibuat, samada diberi dengan tulisan atau percakapan. Setelah menulis pengaduan itu dikehendaki ditandatangan oleh pemberinya atau pengadu.

Bagaimana?
Pengaduan boleh dibuat melalui dua cara, iaitu :

• Pengaduan boleh dibuat secara lisan dan ditulis oleh anggota polis yang menerima pengaduan.
• Pengadu menulis sendiri aduannya dalam borang Pol. 55

Pengaduan boleh dibuat di mana-mana balai polis, walaupun kejadian berlaku diluar kawasan balai berkenaan (termasuk kes Trafik).

Menulis sendiri repot
Borang Pol. 55 boleh didapati secara percuma daripada anggota polis yang bertugas di pejabat atau kaunter pertanyaan di mana-mana balai. Setiap pengaduan hendaklah ditulis dengan menggunakan pen dakwat, supaya tidak boleh dipadam, dengan mengambil kira perkara-perkara berikut :


Tulis nama(seperti dalam kad pengenalan) dengan betul.
Tulis nombor kad pengenalan selepas nama anda.
Isikan butir-butir lain dalam borang berkenaan iaitu jantina,umur, keturunan,bahasa, pekerjaan dan tempat tinggal (nombor telefon jika ada)
Gunakan bahasa yang mudah dan tepat semasa menulis laporan.
Tulis dengan terang, jelas dan boleh dibaca.
Tandatangani pengaduan yang ditulis.
Tulis pengaduan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Ingggeris sahaja (pengaduan dalam bahasa-bahasa lain tidak dibenarkan).
Pengadu berhak mendapat salinan pengaduan yang disahkan oleh Ketua Polis Daerah dengan bayaran minima sebanyak RM2.00.

Fakta-fakta diperlukan dalam repot
Sesuatu pengaduan hendaklah padat dan lengkap. Di antara fakta-fakta penting yang diperlukan ialah:


1. Apa - Kes/kejadian yang hendak dilaporkan (misalnya kecurian, pembunuhan dan sebagainya).
2 Bila - Nyatakan tarikh dan masa berlakunya kejadian itu.
3 Di mana - Nyatakan tempat/lokasi berlakunya kejadian. Nama bandar, kampung, jalan dan nombor rumah.
4 Siapa - Nyatakan butir-butir orang terlibat atau disyaki sekiranya ada saksi yang melihat dan sebagainya. Adakah mereka dikenali atau tidak.
5 Bagaimana - Nyatakan cara atau bagaimana kes itu berlaku/cara jenayah itu dilakukan. Misalnya bagaimana cara pencuri memasuki rumah.
6 Akibat - Kerosakan, kerugian, kecederaan yang dialami (anggaran harga/kos).
7. Cara membuat repot kemalangan jalanraya
8.Pengaduan kemalangan jalan raya merangkumi tiga peringkat atau proses.

Peringkat I merupakan peringkat di mana pihak-pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut tampil membuat pengaduan polis.

Peringkat II melibatkan siasatan pihak polis terhadap pihak-pihak terlibat serta pemeriksaan terhadap kenderaan.

Peringkat III merupakan peringkat penyediaan dokumen-dokumen siasatan.

PERINGKAT 1

Mengikut peruntukan seksyen 52 Akta Pergankutan Jalan Raya 1987, setiap kecelakaan jalan raya hendaklah dilaporkan kepada polis. Pihak yang terlibat hendaklah pergi ke balai polis untuk membuat pengaduan samada dengan menulis sendiri atau melalui anggota polis yang bertugas di Pejabat Pertanyaan. Selain itu, pihak yang terlibat boleh menghubungi balai polis melalui telefon mengenai kecelakaan yang berlaku dan anggota polis yang bertugas mencatatkan segala maklumat yang diberikan. Dalam pengaduan tersebut, pihak yang terlibat hendaklah menuliskan senario kejadian yang berlaku pada sekeping kertas dan menyerahkan sendiri di balai polis untuk dijadikan laporan polis.

Maklumat-maklumat yang perlu diambil kira semasa membuat pengaduan polis adalah seperti berikut :


Tarikh, masa dan tempat kejadian (tanda-tanda nyata atau "landmark" boleh digunakan bagi menggambarkan tempat kejadian).
Pihak-pihak yang terlibat (catatkan nombor pendaftaran, jenis dan warna kenderaan).
Kenderaan, mangsa yang terlibat (termasuk kematian) dan kerosakan kenderaan atau harta awam.
Maklumat-maklumat yang diperolehi hasil pengamatan kelima-lima pacaindera pengadu sebelum, semasa dan selepas kejadian. (Jangan sama sekali membuat andaian).

PERINGKAT II

Setelah laporan dibuat pengadu akan dirujuk kepada pegawai penyiasat kes trafik. Siasatan awal dilakukan dengan merakam percakapan, pengecam tempat kejadian, pemeriksaan teliti kenderaan yang terlibat dan mengklasifikasikan kes mengikut undang-undang. Klasifikasi kes bergantung kepada keterangan fakta dan data-data yang dikumpul semasa siasatan.

"Refer to Insurance"
Bagi kes kenderaan kecil, tidak melibatkan kematian atau kecederaan serta kerosakan kecil ke atas kenderaan yang terlibat, pegawai penyiasat berpendapat siasatan lanjut tidak perlu, maka kes tersebut diklasifikasikan sebagai "RTI - Refer To Insurance" dan pengadu boleh membuat tuntutan sivil.

Siasatan lanjut - kertas siasatan dibuka
Bagi kes kecelakan yang serius, siasatan terperinci akan dilakukan dan kertas siasatan akan dibuka. Setelah segala keterangan serta data-data kecederaan tersebut diperolehi, pihak yang bersalah akan ditetapkan untuk didakwa.

Mengkompaun kesalahan
Bagi kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun, satu notis saman akan dikeluarkan ke atas pesalah yang terlibat. Bayaran kompaun boleh dibuat dikaunter Trafik C.O.P.S - Compound On Line Payment System.

Hadir Mahkamah
Jika tidak membayar kompaun, pesalah hendaklah hadir di mahkamah pada tarikh yang dinyatakan dalam notis saman.

Nota: Mengikut Seksyen 104 Akta Pengangkutan Jalan 1987 setiap kes kemalangan jalan raya samada serius atau tidak, adalah menjadi tanggungjawab pengadu untuk memaklumkan kejadian tersebut kepada syarikat insurannya bagi membolehkan suatu tuntutan di buat di bawah sesuatu polisi.

PERINGKAT III

Salinan pengaduan boleh dibeli pada kadar yang ditetapkan sejurus pengaduan dibuat atau tidak lewat daripada tiga (3) hari dari tarikh pengaduan. Bagi dokumen-dokumen lain siasatan seperti gambar, rajah kasar dan salinan rakaman percakapan, pembekalannya bergantung kepada status siasatan dan bantuan logistik. Sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada daerah polis di mana siasatan kes itu dijalankan.

Contoh repot kes jenayah
Pada 1.1.2000, jam 12 tengah malam, tiga orang yang tidak saya kenali telah menyerbu ke dalam rumah saya menerusi pintu hadapan. Mereka menutup muka dengan stokin wanita. Salah seorang bersenjata seperti pistol sementara yang dua orang lagi bersenjata pisau. Mereka merompak harta benda saya iaitu sebuah kamera, tiga rantai emas dan wang tunai berjumlah RM10,000. Merka juga melarikan kereta saya jenis KIA nombor pendaftaran CUR 54 berwarna biru. Saya tidak dapat mengecam mereka. Sebaik sahaja kejadian itu saya membuat aduan kepada balai polis.

Contoh repot kemalangan jalanraya
Pada 2.2.2000, Jam 3.00 petang ketika saya sedang memandu kereta saya Protn Putra warna merah nombor pendaftaran MAL 2345 di Jalan Merdeka, Kuala Lumpur, sebuah kereta jenis Toyota warna hijau nombor pendaftaran AB 7378 yang datang daripada depan secara tiba-tiba memotong sebuah kereta lain, telah melanggar kereta saya daripada hadapan. Kereta saya megalami kerosakan dan saya turut tercedera dibahagian kepala. Inilah pengaduan saya.

JABATAN PDRM

PDRM terbahagi kepada 8 jabatan utama yang terdiri Jabatan Pengurusan, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Logistik, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDN/KA), Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan satu jabatan baru yang ditubuhkan iaitu Pasukan Petugas Khas. Jabatan-Jabatan ini diketuai oleh Pengarah-pengarah yang berpangkat Komisioner Polis.

Secara amnya, Jabatan Pengurusan bertanggungjawab dalam hal-ehwal pengurusan dan pentadbiran PDRM. Jabatan Siasatan Jenayah pula memainkan peranan dalam penyiasatan kes-kes jenayah serta menjalankan tangkapan dan pendakwaan pesalah-pesalah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik memikul tanggungjawab dalam penyiasatan dan pendakwaan kes-kes yang berhubung dengan masalah pengedaran dan penyalahgunaan dadah, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil adalah menjalankan penyiasatan, menangkap, dan mendakwa penjenayah kolar putih, Jabatan Logistik sebagai jabatan yang menyokong PDRM dari segi kewangan, bekalan, persenjataan dan lain-lain, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam berperanan sebagai 'operational wing' PDRM, dan Cawangan Khas sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam pengumpulan maklumat dan risikan keselamatan.


1) Jabatan Pengurusan
2) Cawangan Khas
3) Jabatan Siasatan Jenayah
4) Jabatan KDN/KA
5) Jabatan Siasatan Jenayah Komersil
6) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik
7) Jabatan Logistik
8) Pasukan Petugas Khas

PANGKAT


Polis Diraja Malaysia mempunyai 16 peringkat pangkat yang dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu kumpulan Pegawai Kanan Polis bermula dari pangkat Inspektor sehingga Inspektor General Polis, dan Kumpulan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel.
Kumpulan Pegawai Kanan Polis terbahagi kepada 2 kelompok di mana pegawai berpangkat Asisten Superintendan Polis ke atas diklasifikasikan sebagai Pegawai Polis Diwartakan manakala Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan Cif Inspektor pula dikenali sebagai Pegawai Polis Tidak Diwartakan. Selain itu, Pegawai Kanan Polis juga boleh dikategorikan kepada 3 kumpulan utama, iaitu Kumpulan Komisioner (ACP - IGP), Kumpulan Superintendan (ASP - SUPT) dan Kumpulan Inspektor (INSP - C/INSP).

Peringkat Pegawai Rendah Polis dan Konstabel pula bermula dari pangkat Konstabel sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor. Pangkat Korperal sehinggalah ke pangkat Sub-Inspektor juga dikenali sebagai Pegawai Subordinat.

Berikut adalah senarai istilah pangkat-pangkat yang terdapat dalam PDRM :-

Pegawai-Pegawai Kanan Polis
Inspektor General Polis (IG)
Deputi Inspektor General Polis (DIG)
Komissioner Polis (CP)
Deputi Komisioner Polis (DCP)
Senior Asistan Komisioner I (SAC I)
Senior Asistan Komisioner II (SAC II)
Asistan Komisioner Polis (ACP)
Superintandan Polis (SUPT.)
Deputi Superintendan Polis (DSP)
Asistan Superintendan Polis (ASP)
Cif Inspektor (C/INSP)
Inspektor (INSP)
Inspektor Percubaan (P/I)

Pegawai Rendah Polis
Sub-Inspektor (SI)
Sarjan Mejar (SM)
Sarjan (SJN)
Koperal (KPL)
Lans Koperal (L/KPL)
Konstabel (KONST)

DASAR UTAMA POLIS DIRAJA MALAYSIA

Seksyen 3 (3) Akta Polis 1967 menggariskan

Demi kedaulatan negara dan kesejahteraan masyarakat dan kewibawaan pasukan, kewajipan asasi anggota Polis Diraja Malaysia adalah:

1) Memelihara Undang-Undang dan Ketenteraman
2) Mengekalkan Keamanan dan Keselamatan Malaysia
3) Mencegah dan Mengesan Penjenayah
4) Menangkap dan Mendakwa Pesalah-Pesalah; dan
5) Mengumpul Risikan Keselamatan.

VISI DAN MISI

Saturday, January 2, 2010

Mengenai Polis Diraja Malaysia

Polis Diraja Malaysia terdiri daripada 102,037 orang pegawai dan anggota. Keanggotaan ini mencerminkan kepelbagaian penugasan yang dijalankan oleh PDRM, dari Tugas Am yang menjalankan tugas tradisional kepolisan dan sentiasa berdampingan dengan rakyat, sehinggalah ke Pasukan Gerakan Am yang menjalankan tugas-tugas 'non-regulatory' seperti pencegahan kemasukan pendatang tanpa izin dan peperangan menentang kebangkitan pengganas komunis suatu ketika dahulu.

Dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang disandarkan oleh rakyat, PDRM dibantu oleh kumpulan sokongan yang terdiri dari Polis Tambahan, Sukarelawan Polis, Polis Bantuan, Kadet Polis dan kakitangan awam. Kumpulan ini memainkan peranan yang penting dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan negara.